arena

CR7, Portugal hampiri pusingan akhir

Oleh AFP

CRISTIANO Ronaldo menjaringkan hatrik kesembilan pada peringkat antarabangsa ketika Portugal semakin hampir melayakkan diri ke Euro 2020 selepas membenam Lithuania 6-0 di Faro, awal pagi tadi.

Juara bertahan Eropah itu bagaimanapun terpaksa menanti untuk layak apabila Serbia mengatasi Luxembourg 3-2 pada satu lagi aksi Kumpulan B.

Ronaldo digantikan dalam dua aksi terakhir kelab oleh jurulatih Juventus, Maurizio Sarri dengan pengendali berbangsa Itali itu mendakwa dia bergelut dengan kecederaan lutut.

Dia dilapor meninggalkan stadium sebelum wisel penamat selepas dikeluarkan oleh Sarri ketika Juve menang 1-0 ke atas AC Milan pada aksi Serie A hujung minggu lalu.

“Saya tahu dia (Ronaldo) boleh bermain,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos kepada saluran TV Portugal, RTP.

“Permainannya hari ini melenyapkan keraguan mengenai keadaan fizikalnya, bagi sesiapa yang ragu-ragu. Secara peribadi saya tidak ragu-ragu dan saya menyatakannya dengan jelas.”

Portugal di tangga kedua kumpulan di belakang Ukraine, yang sudah memastikan tempat dan satu mata di depan Serbia namun boleh meraih tiket ke pusingan akhir tahun depan jika menang ke atas Luxembourg, Ahad ini.

Ronaldo sudah menjaringkan 98 gol antarabangsa dan berharap muncul pemain kedua dalam sejarah mencapai angka 100 hujung minggu ini.

Pemain legenda Iran, Ali Daei memegang rekod sepanjang zaman dengan 109 gol antarabangsa.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 10:44am
d