utama

Buaya? Biasalah... [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

KELIBAT buaya di Sungai Kuantan berdekatan Medan Warisan di Tanah Putih, Kuantan, bukanlah perkara luar biasa memandangkan sungai berkenaan pernah menjadi habitat reptilia berkenaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang awam mengenai kelibat sang bedal.

Katanya, berdasarkan maklumat dan semakan yang dibuat, reptilia itu sering kelihatan di sungai berkenaan namun tidak pernah menimbulkan ancaman kepada manusia.

“Kehadiran buaya di tebing sungai adalah sesuatu yang biasa namun setakat ini kita tidak pernah lagi menerima aduan berkenaan kes serangan buaya.

“Cuma saya mahu menasihati orang ramai terutamanya kaki pancing supaya tidak mengganggu buaya berkenaan apabila terserempak dengannya,” katanya, di sini, hari ini.

Beberapa keping gambar serta video berdurasi 48 saat tular sejak hari ini yang memaparkan beberapa lelaki yang sedang memancing sambil ‘ditemani’ sang bedal itu.

Rozidan berkata, berdasarkan pemerhatiannya menerusi gambar serta video berkenaan, reptilia berkenaan adalah jenis buaya tembaga.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang awam supaya berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di sungai berkenaan dan jangan bertindak sesuka hati dan mengancam buaya apabila terlihat reptilia itu.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 6:21pm
d