WM

Bank makanan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

ISU lebihan makanan bukan perkara asing bagi Malaysia dan amat mengejutkan apabila laporan menunjukkan rakyat negara ini menghasilkan 15,000 tan lebihan makanan setiap hari.

Daripada jumlah itu, sebanyak 3,000 tan adalah lebihan makanan yang masih elok dan selamat dimakan. Sekiranya ia dapat diagihkan dengan optimum, kuantiti itu boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada hampir dua juta rakyat di negara ini.

Ini dikuatkan dengan data yang dikeluarkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setiap tahun satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan hilang atau dibazirkan di peringkat global. Jumlah ini bersamaan 1.3 bilion tan makanan yang dianggarkan bernilai RM4.4 trilion.

Di sebalik jumlah yang membuka mata masyarakat itu, jangan terkejut jika dikatakan masih ramai insan kurang bernasib baik yang tidak mampu menyediakan keperluan untuk mengisi perut seisi keluarga.

Ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, mereka ini tidak semuanya bersikap malas, namun mungkin sudah tertulis suratan dan rezeki yang sukar.

Keprihatinan dan pembabitan masyarakat sangat diperlukan agar mereka mendapat pembelaan umpamanya menerusi pemberian bantuan terutama keperluan makanan.

Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah mewujudkan Program Food Bank Malaysia (bank makanan) bertujuan mengurangkan pembaziran dengan menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.

Bahkan program itu turut diperluaskan ke institusi pengajian tinggi yang bertujuan membantu siswa menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

Food Bank Malaysia yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilancarkan di Pulau Pinang pada 22 Disember lalu menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar universiti awam. Menerusi program itu, lebihan makanan diperoleh terutama dari pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan.

Destina1 International antara syarikat yang turut merebut peluang menyumbang kepada masyarakat khususnya pelajar dengan menubuhkan bank makanan di bawah Yayasan Hope For Mindkind diterajui syarikat terbabit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Seri Dr Baraani Karunakaran, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah sebagai tanda sokongan pihaknya kepada inisiatif kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Katanya, pelancaran bank makanan ini sangat penting untuk membantu keluarga miskin, pelajar yang kurang berkemampuan dan individu berpendapatan rendah dengan menyediakan keperluan makanan dan barangan asas harian kepada mereka.

“Kami juga menjadi salah satu pusat Food Bank yang bekerjasama dengan National Food Bank and Food Aids Foundation untuk membantu seramai mungkin pelajar setempat yang diketahui ramai berdepan kos sara hidup tinggi di bandar.

“Di sekitar kawasan Puchong ini terdapat banyak kolej dan universiti, saya lihat sendiri ramai pelajar terpaksa bekerja keras membahagikan masa antara belajar dan bekerja mencari duit poket untuk beli makanan, bayar yuran mahupun sewa rumah.

“Ada antara mereka perlu ikat perut, sampai terpaksa makan makanan yang kurang sihat kerana kesempitan wang. Jadi, saya mulakan inisiatif ini terutama dengan matlamat untuk memberi makanan berkualiti kepada mereka yang memerlukan terutama pelajar,” katanya pada pelancaran bank makanan di ibu pejabat syarikat itu di Setiawalk, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, inisiatif itu antara konsep syarikat untuk memberi semula kepada komuniti kerana di sebalik kejayaan mereka, tidak sempurna sekiranya rezeki tidak dikongsi bersama insan memerlukan dan tidak berkemampuan.

Oleh itu, katanya, bank makanan itu menjadi peluang buat mereka untuk mendapatkan barangan keperluan di ruang yang disediakan di pejabat itu dengan setiap pelajar perlu mendaftar dan melampirkan kad pelajar sebelum mengambil barangan yang diperlukan.

“Paling penting kami juga mahu pengedar dalam syarikat yang kebanyakannya berkemampuan dan yang sudah berjaya dalam hidup untuk menyumbang dalam bank makanan. Kami memang galakkan pembabitan mereka. Daripada mereka membuang duit membeli barangan yang tidak penting, ada baiknya ia disalurkan dengan menyumbang dalam program ini,” katanya.

Sebanyak 10 rak disediakan dengan sasaran pengagihan barangan keperluan asas seperti beras, minyak, minuman dan makanan kering bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000.

Katanya, setiap minggu pihaknya akan menambah barangan di rak dan selepas dua minggu dilancarkan pihaknya terharu dengan sambutan menggalakkan daripada pengedar yang turut menyumbang pelbagai barangan.

“Saya dengan rendah hati meminta lebih banyak syarikat tampil memulakan inisiatif seperti ini kerana ia amat unik. Ia sumbangan berterusan untuk membantu sesiapa saja yang menghadapi situasi sukar berbanding program CSR lain yang mungkin dilaksanakan secara bermusim,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 5:15am
d