mutakhir

Nombor pendaftaran khas jana RM400j

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN menjana pendapatan RM400 juta menerusi penjualan nombor pendaftaran khas tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, hasil pendapatan itu dapat digunakan untuk disalurkan kepada pembangunan negara dalam pelbagai sektor.

Menurutnya, sehingga kini permintaan untuk membida nombor digit khas juga masih menggalakkan dan kerajaan mampu menjana pendapatan RM1 juta setiap bulan.

"Dalam mesyuarat Kabinet, universiti awam (UA) diberi kelonggaran untuk menjana pendapatan sendiri menerusi penjualan nombor pendaftaran khas.

"Langkah ini dilihat mampu membantu UA untuk menggunakan hasil bidaan bagi penyelidikan, pembangunan universiti dan bantuan kepada penuntut.

"Setakat ini tujuh UA sudah melancarkan nombor pendaftaran khas masing-masing yang akan tamat untuk tempoh tiga tahun," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran dan Pembidaan Nombor Pendaftaran Khas 'UTM' bagi Universiti Teknologi Malaysia, di Residensi UTM, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Nombor pendaftaran khas UTM boleh mula dibida untuk sesi pertama bermula hari ini sehingga 16 Disember 2019 dengan harga bidaan bermula RM1,000 hingga RM200,000.

Dalam pada itu, Wahid berkata, kakitangan, pesara dan alumni UTM dialu-alukan untuk membida nombor pendaftaran khas ini yang bermula dari nombor satu hingga 9999.

Katanya, UTM membangunkan sistem bidaan sendiri dan setakat ini sambutan yang diterima menggalakkan.

"Kakitangan, pesara dan alumni UTM dialu-alukan untuk membida nombor pendaftaran khas ini yang akan dikembalikan dalam bentuk pembangunan, penyelidikan dan bantuan kepada penuntut," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 10:54pm
d