rap

Ernie nak lepas geram

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PEMILIHAN lagu Ku Bersuara nyanyian Ernie Zakri ke peringkat Anugerah Juara Lagu (AJL 34) yang bakal berlangsung pada Februari tahun depan menepati ramalan banyak pihak dan pemerhati industri muzik tempatan.

Malah, apa yang membuatkan kebanyakan orang tidak sabar menyaksikan kemunculan Ernie adalah kekuatan vokal yang bakal dipersembahkan.

Pada masa sama, Ernie yang pernah menggondol Vokal Terbaik pada AJL 32 sekali lagi dilihat memberi saingan hebat kepada Hafiz Suip yang turut kembali beraksi pada pentas berprestij itu.

Untuk rekod, Hafiz yang sudah tiga tahun tidak menyertai AJL pernah memenangi kategori Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut.

“Persepsi dan harapan orang terhadap saya memang ada. Bagaimanapun, saya tak boleh menjanjikan 100 peratus sempurna.

“Ini kerana AJL 32 dulu pun, saya tidak impikan persembahan sebegitu. Namun, apa boleh dikatakan, saya ada tanggungjawab untuk menyampaikan lagu itu dengan sehabis baik.

“Kalau bercakap mengenai vokal, Hafiz Suip, Aina Abdul dan Aepul Drama Band menyanyi secara langsung dengan baik. Jadi, kita tak tahu apa yang bakal terjadi pada AJL nanti.

“Semua finalis mahu berikan yang terbaik. Jadi, saya tak boleh tentukan siapa yang boleh menyanyi dengan bagus atau tidak. Macam saya sendiri pun, hanya boleh berjanji cuba buat yang termampu,” katanya.

Ernie yang tidak menyertai AJL 33 lalu kerana lagu Misteri tidak tersenarai ke peringkat separuh akhir berasakan kemunculan kali ini menerusi lagu Ku Bersuara sangat berbaloi.

“Berbaloi saya berehat daripada AJL tahun lalu. Insya-Allah, saya akan lepas geram nanti sebab lagu ini pun sejenis lepas geram.

“Jadi, saya akan tampilkan kekuatan seorang wanita yang bangkit pada malam AJL nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kekuatan komposisi lagu Ku Bersuara hasil ciptaan Syamel, Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham, Ernie berkata dia paling susah memberi kepuasan kepada Syamel.

“Daripada empat komposer lagu ini, saya berasakan mereka sudah memberikan yang terbaik untuk menghiasi lagu ini supaya menjadi seperti apa yang saya mahukan. Begitu juga mesej sama seperti apa yang saya nak tampilkan. Jadi, saya berasakan mampu sampaikan mesej kekuatan seorang wanita pada pentas AJL nanti, insya-Allah.

“Cuma, paling susah nak puaskan hati Syamel. Dia sangat teliti. Dia mahu yang terbaik sebab Syamel sebenarnya komposer asal lagu ini. Saya jumpa dia dan dia buat struktur serta bayangkan banyak perkara dalam lagu ini. Pendek kata dia cerewet.

“Kalau boleh dia nak saya buat semua perkara. Dia nak saya menjerit dalam lagu ini. Tapi saya berasakan ia perlu dikurangkan. Alhamdulillah, berkat usaha tiga komposer lain, segala-galanya dapat diseimbangkan. Jadi, dia pun okey,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 5:10am
d