mutakhir

Dua beradik hanya sempat selamatkan ayah

Oleh Siraj Mohd Zaini

USAHA dua beradik untuk menyelamatkan ibu, adik serta neneknya tidak kesampaian apabila ketiga-tiga mereka ditemui rentung dalam kebakaran kediaman mereka di Jalan Binjai, Pandamaran, di Klang, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Pua Yoke Moi, 70; Soon See Eng, 54 dan Ang Kar Hian, 22.

Kejadian itu turut mengakibatkan suami See Eng, Ang Cheng Kiat, 55, melecur hampir 50 peratus selepas terperangkap di bahagian belakang rumah, namun berjaya diselamatkan oleh dua anaknya iaitu, Ang Kar Chin, 27 dan Ang Kam Siew, 30.

Difahamkan, ketika kejadian Kam Siew baru pulang dari kerjanya dan masih belum tidur ketika api dipercayai mula marak serta membakar rumah kayu didiami mereka.

Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia melihat Kam Siew dan adik lelakinya, Kar Chin meluru keluar daripada pintu sebelah tepi kanan kediaman berkenaan.

“Api sudah marak membakar bahagian depan rumah, saya lihat dua beradik itu berlari keluar, jiran sebelah rumah cuba menghulurkan tangga untuk mereka keluar sebab kediaman itu berpagar.

“Tapi mereka berdua masuk semula ke dalam rumah dan membawa keluar bapa mereka yang dilihat sudah melecur di bahagian badannya.

“Kebanyakan jiran tidak mampu berbuat apa-apa kerana kediaman itu berpagar dan berkunci selain api sudah terlalu marak,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Semenara itu, mayat Kar Hian yang juga lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui di dalam bilik depan bersama ibunya, See Eng manakala Yoke Moi di dalam bilik belakang berhampiran dapur.

Mayat mereka bertiga dibawa ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat manakala Cheng Kiat turut dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.12 pagi dan sepasukan 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang serta Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi api sudah marak dan terdapat dua kediaman yang terbakar.

“Selain rumah pertama yang membabitkan tiga mangsa rentung, kebakaran turut membabitkan sebuah rumah lagi namun kedua-dua mangsa wanita berjaya menyelamatkan diri.

“Sebanyak tiga kereta iaitu Honda CRV, dua Perodua Myvi dan dua motosikal musnah dalam kebakaran berkenaan,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan

Tiga sekeluarga rentung [METROTV]

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 2:41pm
d