mutakhir

Terjun kerana hutang along

Oleh Siraj Mohd Zaini

WANITA nekad terjun dari tingkat atas bangunan pusat beli-belah di Klang semalam dipercayai kerana bersalah menyusahkan rakan dan keluarganya membayar hutang along.

Mangsa berusia 26 tahun yang bekerja sebagai kerani restoran itu ditemui mati oleh orang awam kira-kira 12 tengah hari semalam.

Sumber berkata, ibu mangsa yang menerima maklumat menimpa anaknya itu bergegas ke lokasi.

“Ibu mangsa mengesahkan ia adalah anak perempuannya dan gagal mengawal perasaan dan hampir pengsan.

“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana parah di kepala dan anggota badan,” katanya hari ini.

Sumber memberitahu, mangsa pernah berhutang sejumlah wang dengan tiga kumpulan along dan meminta rakan serta keluarganya membayar semua pinjaman berkenaan.

“Rakannya ada menghantar mesej mangsa menerusi aplikasi WhatsApp kelmarin dan meminta mangsa agar berubah dan tidak meminjam along lagi.

“Bagaimanapun, mangsa membuat status di laman sosial Facebook menyatakan dirinya meminta maaf kerana menyusahkan keluarga serta rakannya sebelum dia terjun bangunan terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 5:05pm
d