mutakhir

Gagal curi besi, acu parang pada polis pula...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PEMANDU lori mengacukan parang kepada polis yang mengejarnya selepas dia disyaki terbabit dalam cubaan mencuri besi di kedai makan di Seri Manjung, semalam.

Dalam kejadian 5 pagi itu, suspek memandu lori lebih tiga kilometer dari Seri Manjung hingga ke Sitiawan untuk melarikan diri daripada ditahan polis.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menahan lelaki berusia 40-an terbabit.

Difahamkan, orang awam turut membantu dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek dipercayai cuba curi besi di premis berkenaan dan melarikan diri dengan memandu lori berseorangan.

Menurutnya, anggota URB bertindak mengejar suspek hingga ke Sitiawan dan berjaya menghentikan kenderaan berkenaan.

“Ketika membuat tangkapan suspek mengacukan parang ke arah anggota, namun polis berjaya menahan lelaki itu.

“Polis turut merampas parang berkenaan dan lori yang dipandu suspek dibawa ke IPD Manjung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil ujian awal saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek direman selama dua hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 9:15am
d