utama

'Design' memang senget daa...

Oleh Redzuan Muharam

REKA bentuk unik sebuah bangunan di Jalan Conlay, Kuala Lumpur, yang condong dan kelihatan bengkok menimbulkan kekecohan pelayar laman sosial apabila disangka ia hampir runtuh menyembah bumi.

Sebahagian warganet turut berkongsi gambar bangunan yang sedang dalam pembinaan itu di akaun Twitter dan Facebook tanpa mengetahui kesahihan cerita sebenar.

Beberapa warganet turut mendakwa menerima gambar berkenaan menerusi kiriman Whatsapp yang dihantar rakan dan kenalan mereka serta maklumat kononnya berlaku penutupan jalan berikutan dakwaan bangunan itu akan runtuh.

Pemaju projek, KSK Land menerusi satu kenyataan berkata, gambar bangunan yang tular itu antara menara berkembar tertinggi di dunia diberi nama Y008 di bawah projek 8 Conlay.

Menerusi kenyataan sama, KSK Land memaklumkan projek itu merangkumi kediaman servis Kempinski dan Y008.

“Reka bentuk unik menara itu menjadikannya kelihatan seolah-olah condong tetapi pihak kami menitikberatkan aspek keselamatan dalam memastikan kerja pembinaan dijamin selamat,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 7:38pm
d