mutakhir

Soalan sensitif: UniMAP kena jelaskan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KEMENTERIAN Pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyiasat mengenai soalan peperiksaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mencetuskan kontroversi.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, kementerian mengarahkan siasatan kerana soalan dikemukakan di universiti iti dianggap sensitif oleh beberapa pihak, disebabkan mempunyai kaitan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pengukuhan Jawi dan Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam.

Kementerian itu berkata bahawa setiap universiti mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman dan luaran selain Jawatankuasa Akademik termasuk Senat Universiti yang bertanggungjawab atas semua piawaian akademik masing-masing.

“Berdasarkan konsep autonomi universiti, JPT tidak akan campur tangan dalam urusan pelaksanaan program akademik kerana universiti bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan termasuk penuntut dan orang awam.

“Bagaimanapun, JPT sentiasa memantau kecemerlangan universiti melalui beberapa matriks seperti kemenjadian graduan, keunggulan institusi, impak universiti terhadap industri dan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan juga akan meminta pengurusan UNIMAP memberikan penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Beberapa gambar kertas peperiksaan subjek Hubungan Etnik di UniMAP tular di media sosial sejak semalam kerana mempunyai kaitan dengan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik selain pengenalan tulisan khat yang kini menjadi perdebatan beberapa pihak.

Dalam pada itu, UniMAP dalam kenyataan dikeluarkan berharap semua pihak tidak melakukan provokasi mahupun mempolemikkan isu itu.

“Sebagai sebuah universiti yang memiliki pelajar berbilang kaum dan budaya, UniMAP memandang serius akan perkara berkenaan.

“Sebarang maklum balas akan mengutamakan aspek perpaduan dan toleransi antara kaum selaras dengan konsep Juara Perpaduan yang diamalkan sejak awal penubuhan dahulu,” katanya.

UniMAP juga akan mengkaji semula tatacara semakan soalan peperiksaan bagi kursus berkenaan agar pensyarah peka terhadap sensitiviti kaum dan agama dalam membangunkan soalan peperiksaan.

“Pada masa sama, pihak universiti meminta semua pihak agar menghentikan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan suasana ketidakharmonian, sebaliknya memberi ruang kepada UniMAP untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 5:15pm
d