mutakhir

Warga China kena tahan lagi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 23 individu termasuk lima wanita warga China ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian di tiga unit kondominium di Damansara Perdana, di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, serbuan itu dilakukan serentak menerusi Operasi Nuri oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Dalam unit (kondominium) pertama, kami menahan empat lelaki disyaki warga China yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sebelum pemeriksaan lanjut menemui empat komputer riba dan empat telefon bimbit.

“Di unit kedua, seramai tiga lelaki disyaki warga China ditahan dan sebanyak 10 telefon bimbit dan empat komputer riba dirampas.

“Manakala di unit ketiga, kami menahan 11 lelaki dan lima wanita warga China serta merampas 15 telefon bimbit bersama lima komputer riba,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti modus operandi sindiket terbabit dan mengesan mereka yang menjadi mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2020 @ 1:46pm
d