PnP

Miliki 2 kediaman pada usia 29 tahun

Oleh Nabil Basaruddin

BERMULA daripada hanya sekadar impian dan perancangan masa depan, Wan Mohd Shaiful Wan Nawi kini memiliki dua hartanah kediaman ketika usianya menginjak 29 tahun.

Bersandarkan kepada azam dan cita-cita itu juga, dia mula mewujudkan tabung simpanan khas untuk membeli rumah pertamanya selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Dengan simpanan yang tidak begitu banyak, dia mulakan pencarian rumah bersesuaian dengan kedudukan kewangan serta komitmen ditanggungnya bersama isteri.

“Selain simpanan, kami memulakan langkah dengan menyediakan dokumen berkaitan dan mula meninjau kawasan perbandaran baharu dengan mengambil kira kemudahan serta pembangunan sekitarnya.

“Kami juga banyak merujuk portal kerajaan negeri dan membuat pencarian kawasan yang bakal berkembang menjadi bandar raya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Antara kriteria pemilihan rumah saya dan isteri adalah tempoh jaminan rumah, yuran guaman percuma, rebat tunai, diskaun dan bayaran pendahuluan,” katanya kepada P&P baru-baru ini.

Setelah sekian lama mencari, Wan Mohd Shaiful akhirnya membeli sebuah apartmen pada harga RM300,000 dan turut berjaya memiliki rumah teres sebagai aset kediaman kedua pada harga RM400,000 masing-masing di Puncak Alam serta Shah Alam 2.

“Kami komited membeli rumah kerana harga sentiasa menunjukkan peningkatan setiap tahun menjadikan ia akan berterusan mahal.

“Semakin strategik kedudukannya, semakin tinggi harga rumah berkenaan selain ia adalah keperluan utama apabila sudah berkeluarga dan ingin mengelak menyewa selama-lamanya,” katanya.

Dia turut berkongsi bahawa proses pembelian rumah itu juga bergantung kepada rekod kredit individu bersama pihak bank serta institusi kewangan yang lain.

Malah, dia turut mengingatkan meskipun seseorang itu tidak mempunyai sebarang rekod kredit ia memberi kesukaran kepada pihak bank untuk menilai disiplin kredit individu.

“Kita kena ingat, tidak semestinya tiada hutang, bank boleh terus luluskan pinjaman perumahan kerana bagi bank, keupayaan membayar dan disiplin bayaran akan diteliti secukupnya.

“Jadi, saya dan isteri akan pastikan pematuhan dalam skor kredit dan betulkan balik rekod ini terutama dengan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan hutang lain jika ada,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menasihatkan golongan muda yang ingin membeli rumah supaya tidak terlalu mengikut trend dan percaya dengan khabar angin.

“Apa yang penting adalah sentiasa cuba seperti bersiap sedia dengan dokumen yang diperlukan untuk memiliki sesuatu hartanah untuk mengetahui kelayakan.

“Beranikan diri untuk ke galeri pameran dan bank untuk bertanya dan dapatkan maklumat secukupnya di samping dapat meningkatkan ilmu mengenai dunia hartanah,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 6:06am
d