mutakhir

Farhan selamat dikebumikan

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

JENAZAH remaja yang meninggal dunia semasa bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia pada 28 Disember lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di Kuantan, 12.20 tengah malam tadi.

Majlis pengebumian Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid, 16, dihadiri rakan dan kaum keluarga termasuk ibunya Furhzanatul Natasha Mohd Sazali, 30-an, yang bekerja sebagai jururawat di Australia.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Brisbane dan terus dibawa ke Masjid Tok Sira, di sini, untuk disolatkan.

Media sebelum ini melaporkan Mohammad Farhan Fudhail meninggal dunia selepas terlanggar tiang semasa bermain papan selaju bersama rakannya.

Arwah difahamkan ke negara itu bersama beberapa ahli keluarga lain untuk bertemu ibu mereka yang bermastautin di sana sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 8:36am
d