mutakhir

Langkah drastik kekang kongsi gelap

Oleh Balqis Jazimah Zahari

LANGKAH paling drastik termasuk mendapatkan hukuman maksimum akan dilakukan bagi mengekang kegiatan kongsi gelap, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya, pihaknya mengambil apa sahaja inisiatif bersesuaian bagi mematahkan unsur kongsi gelap, supaya ia tidak berleluasa seperti 60-an hingga 80-an.

“Tidak boleh biarkan apa juga jenis kongsi gelap bergiat dalam negara kita ini, dan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan mengambil langkah yang paling drastik sekali untuk mendapatkan hukuman maksimum ke atas mereka.

“Kita mesti berusaha untuk patahkan apa juga cubaan untuk hidupkannya dan tidak mahu budaya liar ini hidup kembali,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan 1, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, kegiatan jenayah yang bersandarkan nama persatuan dan kesatuan juga akan dibanteras kerana dibimbangi menghidupkan elemen kongsi gelap.

“Mereka akan lakukan segala-galanya demi mendapatkan duit misalnya mengawal premis hiburan, melakukan pelbagai perkara yang tidak patut mereka lakukan, melanggar undang-undang atas nama bahawa mereka ada persatuan dan kesatuan.

“Dengan adanya ramai ahli yang boleh menakutkan orang lain, jadi kecenderungan untuk melakukan kesalahan itu sangat besar apabila mereka bergabung di bawah pelbagai nama ‘geng’,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, polis masih melakukan siasatan susulan penahanan individu dipercayai ahli kongsi gelap Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat (PAKIS), termasuk ketua mereka dikenali sebagai ‘Ayah Bos’.

“Kita akan menyiasat latar belakang kesalahan dan apa rekod jenayah mereka sebelum tindakan diambil,” katanya yang memberitahu penahanan itu adalah tindakan yang tepat.

Media sebelum ini melaporkan 114 individu dipercayai ahli kongsi gelap PAKIS, termasuk ketua mereka dikenali sebagai ‘Ayah Bos’, ditahan polis dalam serbuan di Jalan Genting Klang, Sabtu lalu.

Dalam serbuan itu, kumpulan terbabit dipercayai sedang bersiap untuk menyertai majlis angkat sumpah yang diadakan di sebuah premis.

Polis turut merampas empat bilah pedang, kayu cota, buku borang pendaftaran ahli Badan Amal Tarbiyah Sejagat Malaysia (BATAS) serta enam al-Quran dan sejadah, yang dipercayai untuk kegunaan majlis berkenaan.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 5:28pm
d