santai

Panorama hutan hijau

Oleh Adlina Azmi

CUACA panas seolah-olah memanggil penulis untuk ke lokasi ini yang terletak hanya tujuh kilometer dari Pekan Gopeng, Perak. Bukan kali pertama, tetapi ini kali kelima mengunjunginya.

Apatah lagi kunjungan kali ini bersama saudara-mara. Tentunya dalam ‘misi’ menyejukkan badan dapat juga mengeratkan hubungan bersama mereka sambil menikmati keindahan panorama hutan hijau semula yang masih dara.

Terletak di dalam Perkampungan Ulu Gerutum, Air Terjun Ulu Gertum bukan asing bagi mereka yang gemarkan melakukan aktiviti tali tinggi atau ‘abselling’ kerana di tingkat pertama air terjunnya mempunyai lokasi sesuai untuk kegiatan itu.

Bagaimanapun, pada kali ini penulis tidak mempunyai rencana untuk melakukan aktiviti lasak berkenaan. Cukup untuk bersantai dan berkelah saja.

Bayaran masuk hanya dikenakan RM3 kepada pengunjung, tetapi pengalaman untuk menikmati alam semula jadi di dalamnya ternyata tidak ternilai kerana dihidangkan dengan air sungai yang masih jernih dan dilitupi hutan hijau.

Sebenarnya di sini ada tiga tingkat air terjun dan paling tinggi perlu meredah sedikit laluan denai yang jauhnya sekitar 150 meter sahaja dari laluan masuk.

Air terjun di tingkat ketiga itu menghidangkan panorama yang menarik kerana airnya turun dari aras agak tinggi dan deras. Merakam foto keindahannya sudah pasti sesuatu yang tidak kami lepaskan selepas melalui laluan denai ke lokasi itu.

Air Terjun Ulu Gertum juga antara kawasan perkelahan keluarga kerana di sini terdapat pelbagai kemudahan untuk pengunjung seperti tandas bagi menyalin pakaian dan kawasan air yang cetek untuk kanak-kanak bermandi-manda.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti berkhemah di kawasan hutan dan mempunyai air terjun, sudah semestinya Air Terjun Ulu Gertum antara lokasi yang menarik kerana di sini juga ada tapak perkhemahan.

Selain menyejukkan diri di kawasan air terjun, perkara yang membuatkan penulis terus terpanggil untuk berulang kali ke sini ialah peluang melalui perkampungan Orang Asli yang tinggal di kawasan berkenaan.

Kehidupan mereka yang serba ringkas dan rumah kampung sudah semestinya memberi pengalaman berbeza jika dibandingkan lokasi air terjun yang pernah dilawati sebelum ini.

Boleh dikatakan penduduk kampungnya juga mesra pengunjung dan tidak lokek menghadiahkan senyuman meskipun ada juga yang kelihatan malu-malu apabila disapa.

Ternyata mengunjungi Air Terjun Ulu Gertum menyingkap seribu satu keindahan bukan saja buat anda yang gemarkan alam semula jadi, tetapi paparan kehidupan Orang Asli di kawasan itu.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 6:15am
d