mutakhir

Tolong bantu saya...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

IBU bapa kandung atau waris kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun diminta tampil bagi membantu urusan dokumentasi bagi pengambilan sebagai anak angkat.

Peniaga Ling Mee Kuk, 44, berkata dia menjaga kanak-kanak diberi nama Ling Shi Xuan sejak lahir selepas diserahkan wanita dipercayai warga Vietnam yang mahu pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, katanya, tiada dokumen dan maklumat berkaitan yang diserahkan bersama kanak-kanak terbabit.

“Saya mahu mengambil Shi Xuan sebagai anak angkat yang sah kerana terlalu menyayanginya selain sudah menjaga dia seperti anak kandung.

“Malah, saya juga berusaha mengesan wanita berkenaan, tetapi tiada perkembangan positif,” katanya ketika ditemui di Sitiawan, hari ini.

Menurutnya, dia membuat laporan polis dan merujuk perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk permohonan pengambilan anak angkat mengikut prosedur yang sah.

Katanya, dia berharap dapat mengesan waris kanak-kanak terbabit bagi melengkapkan proses dokumentasi.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai keluarga kanak-kanak itu boleh menghubungi Mee Kuk di talian 016-5217376.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 6:21pm
d