mutakhir

Berbakti di rumah penduduk uzur

Oleh Nazri Abu Bakar

SEORANG tukang gunting sanggup menutup kedainya pada setiap Jumaat bagi mengunjungi rumah penduduk uzur dan sakit untuk tujuan menggunting rambut mereka.

Ismail Bakar, 59, yang juga bekas anggota tentera berbuat demikian berikutan menyedari pesakit yang uzur tidak berupaya untuk ke kedai bagi tujuan menggunting rambut.

Sehubungan itu, dia mengambil inisiatif terbabit sejak lebih 20 tahun lalu untuk memudahkan penduduk uzur dan orang kurang upaya (OKU) menggunting rambut masing-masing.

“Orang uzur turut mahu kelihatan kemas dan terurus, justeru saya akan ke rumah mereka untuk tujuan menggunting rambut mereka. Bagi yang tidak berkemampuan, tiada bayaran dikenakan.

“Sementara yang berada, ada yang memberi tips, namun paling penting saya dapat membantu sekadar termampu.

“Kebiasaannya saya akan mengunjungi mereka pada awal pagi atau selepas solat Jumaat,” katanya.

Ismail yang membuka kedai gunting di Kelemak, Alor Gajah, sejak hampir 30 tahun lalu menganggap rezeki harus dikongsi bersama, justeru pendekatannya lebih kepada membantu.

Malah, dia masih mengekalkan kadar bayaran rendah iaitu RM7 atau RM8 untuk seorang pelanggan.

Pada masa sama, dia menampilkan konsep ketenteraan di kedainya termasuk menempatkan replika pakaian unik di kedainya termasuk pelbagai jenis topi hijau dan gambar kenangan sebagai tukang gunting.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:23pm
d