mutakhir

Pukat hantu ancam hidupan laut

Oleh Mohd Rafi Mamat

KEWUJUDAN ‘pukat hantu’ menjadi ancaman utama kepada hidupan laut dan menyebabkan kematian penyu akibat tersangkut di perairan Pulau Tioman, Pahang.

Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Pahang Cawangan Taman Laut dan Sumber, Mohamad Anuar Roslan berkata, tahun lalu dua penyu Agar dewasa ditemui mati tersangkut pada pukat hantu bersaiz besar yang berada di dasar laut.

Menurutnya, pukat hantu menjadi ancaman utama pada hidupan laut terutama penyu dan hampir setiap tahun terdapat kes kematian membabitkan reptilia itu di perairan Pulau Tioman.

“Penyu akan mati selepas beberapa jam tidak dapat timbul ke permukaan laut untuk bernafas. Reptilia itu tersangkut pada pukat hantu ketika mencari makan di kawasan batu karang yang menjadi tempat ikan membiak.

“Perbuatan membuang pukat lama dan koyak ke laut oleh sebilangan nelayan mengundang munculnya pukat hantu ini. Ia adalah istilah yang biasa digunakan Jabatan Perikanan dan beberapa agensi lain,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamad Anuar Roslan berkata, pukat hanyut dan pukat tunda yang ditinggalkan nelayan antara penyumbang kehadiran pukat hantu.

“Sepanjang tahun usaha memusnahkan pukat hantu dilakukan pihak kami termasuk agensi yang mengusahakan aktiviti menyelam untuk pelancong di pulau peranginan bertaraf antarabangsa ini.

“Kawasan terumbu karang menarik terdapat di Pulau Tioman ini juga akan musnah sekiranya usaha membuang pukat hantu tidak dilakukan dengan serius secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun jabatan mengadakan kempen kesedaran berhubung bahaya kewujudan pukat hantu ini.

“Ia bagi memastikan nelayan tidak bertindak membuang pukat mereka ke dalam laut. Kami berharap masalah pukat hantu ini dapat diselesaikan segera bagi keselamatan penyu dan keindahan batu karang kita.

“Selain itu setiap tahun kita turut menganjurkan program memusnahkan pukat hantu dengan pembabitan pelbagai pihak seperti pengusaha aktiviti menyelam dan penduduk setempat termasuk pelancong,”katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 2:09pm
d