mutakhir

Tak ada singa terlepas di Westport

Oleh Ruwaida Md Zain

GAMBAR seekor singa terlepas dari sebuah kontena dan berkeliaran di kawasan Westport yang tersebar menerusi WhatsApp adalah tidak benar.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sudah mendapatkan pengesahan dengan pihak berkuasa di kawasan itu.

“Mengenai kehadiran singa di Westport, Jabatan PERHILITAN Selangor sudah menghubungi polis bantuan di Westport serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Pihak polis bantuan mengatakan maklumat itu adalah palsu kerana tiada apa yang berlaku seperti dikatakan dan gambar itu pernah tular sebelum ini.

"Pihak kastam mengatakan kontena dengan nombor siri berkenaan tiada di pelabuhan dan sudah keluar pada Disember tahun lalu," katanya ketika dihubungi.

Perkara sama turut disahkan oleh Pengarah PERHILITAN Selangor, Haidar Khan Mokbolhasan bahawa pihaknya akan dimaklumkan jika terdapat sebarang kemasukan haiwan ke Selangor melalui pelabuhan.

"Kalau ada (import atau eksport membabitkan haiwan), pihak pelabuhan atau kastam akan maklumkan kepada Jabatan PERHILITAN Selangor.

“Jabatan dah semak dengan polis Westport di pelabuhan dan kastam. Maklumat itu palsu dan tidak seperti yang tular," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan tiada import dan eksport haiwan di Westport.

"Itu tidak benar. Wesport tidak eksport atau import binatang. Saya sudah mendapatkan pengesahan dengan pegawai Westport," katanya.

Petang semalam, tular gambar singa berada berhampiran kontena dengan kapsyen: ‘Pihak Westport menghentikan seketika operasi kontena kerana seekor singa terlepas dari kontena dan sedang berkeliaran.’

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 12:08pm
d