global

Baghdad dilitupi salji

Oleh Agensi

Baghdad: Buat pertama kalinya dalam tempoh 12 tahun, ibu negara Iraq dilitupi salji susulan gelombang cuaca sejuk dari Eropah.

Berdasarkan laporan Daily Mail, pohon kelapa di bandar itu bertukar warna putih manakala, khemah milik penunjuk perasaan demonstrasi antikerajaan lama di Dataran Tahrir juga diliputi salji.

Penduduk tidak melepaskan peluang merakam gambar, malah anak-anak muda juga tidak ketinggalan bermain bola salji.

Jurucakap Pusat Meteorologi Iraq Amer al-Jaberi berkata, fenomena itu akan berlanjutan hingga Rabu.

Sementara itu, seorang penunjuk perasaan Aymen Ahmed teruja dan bersyukur dengan kehadiran salji, pagi kelmarin.

“Langit cantik....orang ramai sangat gembira kerana ini kali pertama salji turun di Iraq,” katanya.

Kali terakhir salji turun di Baghdad pada 2008, tetapi tidak sebanyak ini.

Salji lebih kerap berlaku di utara Iraq, bandar Mosul yang dilanda perang.

Pada 2018, masalah kekurangan air kronik mencetuskan krisis kesihatan di tengah dan selatan Iraq.

Tetapi tahun berikutnya, hujan lebat dan banjir menyebabkan kematian dan kerosakan rumah dan tanaman.

Malah cuaca panas juga melanda utara yang mencetuskan kebakaran dan tanaman kering kontang.

Pakar meramalkan Iraq tidak mempunyai pembiayaan dan infrastruktur lengkap untuk menghadapi sebarang perubahan iklim.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 7:01am
d