mutakhir

Kereta 'scrap' untuk pembelajaran

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyumbangkan tiga kereta import lucut hak kepada tiga institusi pendidikan di Perlis bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Pengarahnya Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, penyerahan tiga kereta terbabit mampu memberi pendedahan dan pembelajaran kepada pelajar mengenai teknologi dalam industri automotif.

“Ketiga-tiga kereta import berkenaan adalah kategori kenderaan sita ‘scrap’ yang tidak boleh didaftarkan secara sah dengan JPJ atau kereta yang diklonkan yang akan dilupuskan.

“Bagaimanapun, JPJ Perlis menyumbangkannya bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran pelajar automotif di peringkat menengah dan sijil kemahiran,” katanya.

Fatimah berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Sita ‘Scrap’ Lucut Hak Kepada Institut Pendidikan Negeri Perlis di Ibu Pejabat JPJ Perlis di Jejawi, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 100 pelajar dari Kolej Vokasional Arau, Kolej Vokasional Kangar dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri.

Fatimah berkata, selain pemberian kereta ‘scrap’ kepada institusi pendidikan, pihaknya juga berharap penyerahan terbabit dapat memberi manfaat kepada pelajar pada masa hadapan.

“Secara tidak langsung pihak JPJ bersama pengurusan kolej dapat bekerjasama mengekang pelajar daripada terbabit dalam aktiviti tidak bermoral di jalan raya selain meningkatkan kesedaran mereka akan keselamatan jalan raya,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 4:33pm
d