bisnes

Modenas terus pasarkan model Kawasaki

Oleh Lizam Ridzuan

BERSEMPENA pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, antara perkembangan lain ialah lanjutan kerjasama di antara Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) dan Kawasaki Heavy Industries (KHI), Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, KHI sudah meningkatkan pegangan saham mereka sebanyak 30 peratus ke atas syarikat itu sejak Mei tahun lalu dan itu membolehkan model-model Kawasaki dipasarkan untuk Modenas.

“Model pertama hasil kerjasama itu ialah daripada Ninja 250 SE ABS dengan penarafan Euro 4 yang setakat ini belum lagi dipasarkan di Malaysia kerana model sedia ada masih menggunakan Euro 3.

“Ia bakal dilancarkan pada separuh tahun kedua 2020 dengan logo Modenas serta model-model lain di bawah 700 cc untuk pasaran tempatan,” katanya ketika ditemui di ruang pameran Modenas di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, selain itu pelaburan sebanyak RM5 juta diperuntukkan Modenas untuk menambah kelengkapan dan peralatan memasang model-model Kawasaki di kilang pemasangan di Gurun, Kedah.

Menyentuh perkembangan dengan pengeluar motosikal Bajaj Auto Ltd (Bajaj) dari India, Roslan berkata, mereka tetap meneruskan kerjasama yang dimulakan sejak tiga tahun lalu.

“Segmen dan pembeli untuk motosikal Bajaj oleh Modenas adalah berbeza kerana ia menawarkan harga mampu milik untuk motosikal ‘street’ daripada 200 hingga 400 cc,” katanya.

Modenas bakal membariskan lapan model baharu tahun ini dan dijangkakan separuh daripada jumlah itu adalah daripada Kawasaki.

Ditanya adakah Modenas akan menjadi pengedar utama motosikal jenama Kawasaki di negara ini, beliau berkata, perkara itu sedang dalam perbincangan dan bakal diumumkan oleh KHI pada suku kedua tahun ini.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 5:26pm
d