mutakhir

Melecur ketika cuba padam kebakaran

Oleh Nor Farhani Che Ad

LELAKI melecur di kaki ketika cuba memadam kebakaran sebuah lori di Kampung Banggol Berangan di Kulim, hari ini.

Kejadian berlaku pada 8.50 pagi menyebabkan Mohd Shukri Abdul Manaf, 36, melecur dari betis hingga tapak kedua-dua kakinya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 9 pagi.

Katanya, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas ke lokasi dan mangsa didapati melecur ketika cuba memadam kebakaran lori yang diletakkan di hadapan sebuah rumah.

“Berikutan itu, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) melakukan rawatan awal kepada mangsa sebelum dirujuk ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ehsan berkata, operasi memadam kebakaran dilakukan, namun kenderaan itu musnah hampir keseluruhannya.

Katanya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 3:44pm
d