mutakhir

13 penyu agar mati tahun lalu

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perikanan Pahang merekodkan 13 kematian penyu agar tahun lalu disebabkan tersangkut pada pukat nelayan dan terkena kipas bot.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, dalam tempoh dua bulan tahun ini, sebanyak tiga kes kematian reptilia berkenaan dicatatkan dan terbaru dua bangkai penyu agar ditemui di pesisir pantai Kampung Sungai Ular, Kuantan kelmarin.

Menurutnya, sepanjang 2007 hingga 2019, sebanyak 80 kes kematian penyu agar dan lipas direkodkan membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin yang terkenal dengan kawasan pesisir pantai luas.

“Selain tersangkut pada pukat nelayan dan terkena kipas bot, penyu mati disebabkan masalah usus kerana termakan plastik yang terdapat dalam laut.

“Kami memandang serius kes kematian penyu setiap tahun disebabkan kecuaian pihak tertentu, justeru usaha kesedaran dilakukan secara berterusan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya menasihatkan nelayan di negeri ini supaya menggunakan pukat atau jaring saiz mata dibenarkan sahaja bagi mengelakkan reptilia terbabit terperangkap dan cedera sebelum mati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penemuan dua bangkai penyu agar dewasa di pesisir pantai Sungai Ular, Kuantan, kelmarin.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 5:46pm
d