mutakhir

Ahmad Faizal menghadap Sultan Nazrin

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Pertemuan itu akan diadakan di Istana Iskandariah selepas Sultan Nazrin dan Ahmad Faizal selesai menghadiri Program Hari Landskap Peringkat Negeri di Laman Budaya, di Kuala Kangsar.

“Saya dipanggil untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, pertemuan itu tidak disertai barisan Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) yang lain.

“Tidak, saya sendiri. Saya akan bertemu anda semua (pengamal media) nanti,” katanya yang turut meminta maaf kepada pemberita.

Ditanya tujuan pertemuan itu diadakan, Ahmad Faizal hanya menjawab ‘Wallahualam’ kepada pemberita.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang sehingga kini masih mengunci mulut mengenai status pentadbiran di Perak.

Semalam, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan Perikatan Nasional terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS sedia bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan negeri yang baharu.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 12:58pm
    d