mutakhir

Hadiah pilu di hari lahir

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“Selamat hari kelahiran mak..semoga panjang umur dimurahkan rezekinya.” Itu status terakhir Mohd Azwan Azlan, 24, kepada ibunya, Siti Hajar Harun, 49, melalui aplikasi WhatsApp sejam sebelum terbabit kemalangan di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, semalam.

Kemalangan 2.30 petang itu mengorbankan Mohd Azwan selepas traktor dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Siti Hajar berkata, dia sempat membaca status WhatsApp yang dimuat naik anak keempat dari lima beradik itu, pada 1.05 petang.

“Kebetulan, semalam hari lahir saya. Tak sangka ‘hadiah’ yang saya terima (semalam) meruntun hati apabila menerima kepulangan jenazah anak sendiri ke rumah.

“Saya terkejut apabila suami (Azlan Rasidi, 54) memaklumkan Mohd Azwan terbabit kemalangan, pada 3 petang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya di Parit 1, Sungai Haji Dorani, hari ini.

Menurutnya, ketika hari kejadian, keluarga sudah sepakat untuk berkumpul dan makan malam bersama di rumah.

“Namun ia akhirnya bertukar menjadi majlis tahlil arwah. Dia anak yang paling rapat dengan saya.

“Allah panggil dia pulang buat selamanya. Sebagai ibu saya redha walaupun sukar terima hakikat ini,” katanya.

Sementara itu Azlan berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan namun kerap mengulangi perkataan ‘musim ini sahaja saya bawa traktor, musim depan dah tak bawa dah’, dua minggu sebelum pemergiannya.

Katanya, arwah yang baru setahun bekerja memandu traktor dilihat menunjukkan minatnya memandu kenderaan berat itu.

“Setiap kali sebelum arwah pergi ke tempat kerja, saya kerap mengingatkannya supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan berat berikutan risikonya yang tinggi.

“Kehilangan arwah amat dirasai kerana sifat peribadinya yang lemah lembut, mendengar kata orang tua dan cepat menghulurkan bantuan sekiranya keluarga atau rakan dalam kesusahan,” katanya.

Jenazah Mohd Azwan disolatkan di rumahnya pada 9.30 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Haji Dorani kira-kira 11 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu traktor terbabas dan terjunam ke dalam parit.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: March 6, 2020 @ 1:08pm
d