arena

Bayern kukuh cengkaman Bundesliga

Oleh Reuters

BAYERN Munich tidak mempamerkan prestasi terbaik namun masih mampu menewaskan Augsburg 2-0 di tempat sendiri sekali gus berkelebihan empat mata di puncak Bundesliga, awal pagi tadi.

Skuad Bavarian itu tampil aksi hambar, hanya meledak satu percubaan tepat pada babak pertama dan jelas tempang tanpa penjaring terbanyak, Robert Lewandowski.

Mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-53 untuk memecah benteng penuh disiplin Augsburg apabila Thomas Mueller meledak voli selepas mendapat hantaran cantik Jerome Boateng.

Dengan memakai replika jersi pertama Bayern 120 tahun lalu bagi meraikan ulang tahun penubuhan kelab, mereka lebih bertenaga pada babak kedua memaksa penjaga gol Augsburg, Andreas Luthe menyelamatkan percubaan jarak dekat Philippe Coutinho dan Serge Gnabry terlepas beberapa peluang terbaik.

Augsburg turut terlepas peluang terbaik pada lewat permainan apabila rembatan Florian Niederlechner dihadang Manuel Neuer dan tandukan Alfred Finnbogason tersasar pada minit ke-81.

Pemain Bayern, Leon Goretzka mengesahkan kemenangan tuan rumah pada masa kecederaan membolehkan Bayern meraih 55 mata, empat mata mengatasi Borussia Dortmund yang menduduki tangga kedua selepas menewaskan Borussia Moenchengladbach 2-1 pada Sabtu lalu. RB Leipzig di tangga ketiga selepas seri tanpa jaringan di VfL Wolfsburg.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 9:57am
d