rap

Keterbukaan Uyaina berbicara soal jodoh...

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON dan pengacara Uyaina Arshad, 28, mengambil pendekatan terbuka berbicara soal jodoh daripada sudut pandangannya di media sosial.

Menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram itu, Uyaina berkata soal jodoh seorang manusia, hanya Allah SWT saja yang tahu sama cepat atau lambat.

“Saya ada beberapa perspektif mengenai perkahwinan iaitu jangan berkahwin hanya kerana memikirkan bahagian indah dan menyeronokkan saja.

“Usah berkahwin hanya kerana sudah menginjak usia tertentu, termasuk jangan berkahwin kerana tekanan orang sekeliling,” katanya.

Menurut pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan, Curi-Curi Cinta dan Jujurlah Nikahi Aku ini, paling penting jangan berkahwin kerana memikirkan perlu memperbetulkan orang lain.

Pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata berkahwin pada saat diri gembira dan sudah bersedia berkongsi dengan orang lain.

“Cinta bukan soal kita cuba memperbetulkan seseorang. Cinta berbalik pada memperbaiki kekurangan diri untuk menjadi lebih baik bersama-sama.

“Pun begitu, saya sama sekali tidak menutup hati untuk mengenali lelaki, asalkan tahu tanggungjawab, menyokong, matang dan memahami,” katanya.

Uyaina yang juga juara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 berkata persoalan mengenai jodoh kini boleh diteliti daripada sudut pandang lebih luas.

“Keutamaan sudah bertukar dan saya melihat banyak perkara dari sudut berbeza. Sebelum ini, saya percaya berkahwin awal seperti seseorang menuju ke puncak kejayaan.

“Malah, wanita berusia 25 tahun dan tidak berkahwin pula dianggap tidak laku. Hakikatnya, itu hanya pandangan masyarakat saja,” katanya.

Tidak mahu ada yang tersilap tafsir pandangannya, Uyiana berkata dia juga tidak ada isu dengan wanita yang bertemu jodoh lebih awal.

Jelasnya, Allah sebaik-baik pencerita. Selagi kita mengutamakan Allah dalam setiap keputusan dibuat, diri akan berada dalam baik-baik setiap masa.

Sebelum, Uyaina pernah membuat pengakuan dia berhubungan rapat dengan penyanyi dangdut popular Indonesia, Reza Zakarya, 30.

Hubungan baik dan rapat dijalin kedua-duanya sangat mendapat sokongan peminat dari Indonesia dan Malaysia yang mendoakan terbaik buat pasangan ini.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 8:10pm
d