mutakhir

Pelantikan Tengku Zafrul berbeza daripada amalan

Oleh BERNAMA

PELANTIKAN Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai Menteri Kewangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini, melakar detik tersendiri dari segi keanggotaan Kabinet serta perjalanan kerjaya beliau.

Apa tidaknya, pelantikan ahli perbankan itu disifatkan sebagai bersejarah kerana pendekatan yang berbeza daripada amalan sebelum ini.

Ini berikutan jawatan Menteri Kewangan itu yang sememangnya amat berpengaruh dan berkuasa, lazimnya dikhususkan untuk kalangan anggota kanan parti pemerintah.

Malah, dalam banyak keadaan, Perdana Menteri juga turut menyandang tugas sebagai Menteri Kewangan.

Dari segi profil, Tengku Zafrul yang berusia 46 tahun itu dikenali sebagai seorang ahli teknokrat.

Anak kelahiran Kuala Lumpur pada 25 Jun 1973, itu memulakan kerjaya dalam sektor perbankan/kewangan sebagai eksekutif kewangan korporat dengan AmInvestment Bank pada 1996.

Beliau kemudiannya menyertai Crédit Agricole sebagai penganalisis pelaburan dan seterusnya menaiki tangga korporat sebagai pengarah dalam tempoh beberapa tahun.

Tengku Zafrul menjadi sebahagian tenaga Avenue Capital Resources (kini dikenali ECM Libra) - sebuah syarikat tersenarai dengan kepakaran dalam perkhidmatan kewangan seperti perbankan pelaburan dan pengurusan dana yang menyaksikan beliau dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan.

Beliau juga pernah menjadi penasihat kepada Presiden Tenaga Nasional Bhd sebelum menyertai CIMB Investment Bank Bhd sebagai ketua pegawai eksekutif.

Selain itu, Tengku Zafrul juga adalah anggota Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang mewakili Malaysia dalam usaha penggalakan perdagangan intra dan kerjasama dalam rantau itu.

Selain menggalas tanggung jawab korporat, beliau adalah penasihat pembangunan sosioekonomi Malaysia dan menganggotai Majlis Sukan Negara selain Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana.

Menyingkap latar belakang pendidikannya, Menteri Kewangan baharu itu adalah lulusan kolej berprestij Kolej Melayu Kuala Kangsar dan menyambung pengajian ke University of Bristol, United Kingdom dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan.

Anak sulung daripada empat beradik ini kemudiannya meraih Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan University Exeter dan seterusnya Felo Ahli Perbankan Bertauliah Institut Bank-Bank Bertauliah Asia.

Ibu beliau adalah Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin adalah bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri manakala bapanya adalah Tengku Abdul Aziz iaitu seorang ahli perniagaan.

Tengku Zafrul berkahwin dengan Raja Datin Sri Johanna Raja Arshad dan mempunyai empat orang anak.

Berita berkaitan:

  • Senarai Kabinet 2020
  • Sejarah buat PAS
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • Ahmad Amzad selesa bekerja dengan KJ
  • MB Kelantan ucap tahniah kepada Kabinet
  • Enam menteri dari Sabah
  • Tok Pa jaga ekonomi
  • Kombinasi pengalaman pelbagai bidang, kepakaran
  • MCA kembali dalam barisan Kabinet
  • Dr Zulkifli mufti pertama jadi menteri
  • 4 Menteri Kanan ganti TPM
  • Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 8:28pm
    d