arena

Pemain muda JDT II aset untuk JDT

Oleh Rizar Mohd Noor

JURULATIH Johor Darul Ta’zim II (JDTII), Rafael Gil Sanchez memuji anak buahnya yang tidak kekok dan bersikap matang apabila beraksi menentang Kuala Lumpur pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin.

Beliau berkata, kelibat Firdaus Ramli dan Feroz Baharuddin yang mengemudi benteng pertahanan begitu tenang menghalang gerakan berbahaya skuad bimbingan Mohd Nidzam Adha Yusoff yang memiliki pengalaman dalam saingan kompetitif.

Malah beliau menambah kelicikan Arif Aiman Mohd Hanapi yang beraksi di posisi sayap kiri tampak konsisten apabila sering mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan yang terpaksa bertungkus lumus menghalang larian pantas pemain itu.

“Itulah sebab JDT II diwujudkan untuk menjadi kelab ‘feeder’ buat Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila pemain muda yang berusia 18 tahun diturunkan mendapat pendedahan terbaik dalam perlawanan kompetitif dan bersaing dengan pemain berpengalaman sudah tentu mereka sendiri akan ada keyakinan diri.

”Anda lihat sendiri bagaimana Arif Aiman meloloskan diri daripada kawalan benteng lawan malah dia juga hampir menjaringakan gol. Malah kaedah latihan yang serius dan memberi tunjuk ajar setiap pemain terutama pemain muda beri keyakinan kepada mereka mempamerkan aksi terbaik.

“Mustahak sekali pemain harus ada kekuatan mental dan ketepikan singkat takut untuk mencuba kerana dalam permainan bola sepak moden tidak lagi istilah takut atau segan... sebaliknya pemain harus ada keyakinan melebihi 100 peratus,” katanya.

Selain itu, Gil Sanchez juga menambah, pemain muda yang berada dalam skuad itu tidak mustahil dalam tempoh dua atau tiga tahun bakal diserap ke skuad Harimau Selatan untuk beraksi dalam saingan Liga Super.

Ditanya mengenai kombinasi pemain lana dan pemain muda, pengendali dari Sepanyol itu menanggap ia langkah terbaik tatkala ia barisan pemain muda mendapat pengalaman terbaik dari Nicolas Fernandez, Gary Steven Robbat dan beberapa pemain lain.

”Tanpa pemain yang berpengalaman memang sukar untuk pemain muda belajar dengan corak permainan yang lebih berkesan dan mereka juga akan didedahkan menerusi rakaman video bagi memperbaiki apa jua kelemahan,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 1:18am
d