arena

Belum putus penangguhan saingan Liga M

Oleh BERNAMA

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum memutuskan mengenai tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020 yang terjejas susulan penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, tempoh penangguhan itu tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa dan tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.

Beliau, bagaimanapun berkata, MFL selaku badan pentadbir Liga M mempunyai perancangan teliti sekiranya perjalanan liga domestik terpaksa ditangguhkan hingga Jun.

“Kita sentiasa berhubung dengan KKM bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai Covid-19 untuk membuat keputusan mengenai tempoh penangguhan perjalanan liga dan secara mudahnya, jika kes menunjukkan penurunan ia mungkin isyarat liga boleh dijalankan lebih awal.

“Tetapi melihat kepada perkembangan terkini, jumlah kes itu bertambah dan MFL bersedia sekiranya liga perlu ditangguhkan hingga April, Mei atau Jun. Kami mempunyai perancangan dan komited untuk habiskan saingan liga musim 2020 ini,” katanya.

Jumaat lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mengarahkan semua pertandingan Liga M minggu lalu dijalankan tanpa penonton sebelum ia ditangguhkan sementara sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Selepas empat perlawanan Liga M, juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai pendahulu dengan mengumpul 10 mata, sementara Terengganu FC II gah di persada Liga Perdana selepas meraih kemenangan dalam empat aksi pertama.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, MFL setakat ini tidak mempunyai perancangan menamatkan saingan liga secara pramatang.

Namun, beliau berkata, tempoh penangguhan yang panjang akan mengakibatkan pasukan bertanding berdepan jadual perlawanan padat sejurus Liga M bersambung semula.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 6:30am
    d