mutakhir

Ahmad Faizal mula tugas MB ke-13 [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini, secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

Beliau tiba di bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada 8.30 pagi, disambut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) Nor Sham Rahman dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Zulazlan Abu Hassan, sebelum mengimbas kad perakam.

Menurut Pejabat Menteri Besar Perak, sambutan berlangsung dalam skala yang kecil tanpa kehadiran pihak media sebagai langkah mewujudkan jarak sosial, bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ahmad Faizal memulakan tugasan beliau dengan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri di pejabat Menteri Besar dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Mesyuarat bertujuan membincangkan tindakan lanjut pentadbiran kerajaan negeri dan jabatan serta agensi berkaitan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal yang sebelum ini Menteri Besar Perak ke-12 mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin berkenan melantik Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar selepas beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 11:23am
d