santai

Teroka gua, panjat pokok

Oleh Hafiz Ithnin

MALAYSIA sememangnya mempunyai pelbagai tarikan aktiviti rekreasi yang mewarnai lagi dunia pelancongan lasak di negara ini.

Antaranya, tinggalan formasi batuan semula jadi yang membentuk gua turut membantu mempromosikan industri pelancongan negara khususnya dalam aktiviti santai secara lasak.

Selain itu, aktiviti memanjat pokok juga bukan sesuatu yang baharu kerana ia salah satu cabang dalam kegiatan rekreasi yang ada pengikutnya tersendiri.

Melihat kepada keunikan itu, Kelab Rekreasi UiTM (KRESMA) menganjurkan aktiviti, Nadi Buana Lama (Nabuala) membabitkan 30 peserta bagi membolehkan mereka menikmati cabaran meneroka gua serta mempelajari teknik memanjat pokok dan bantuan di aras tinggi.

Program itu berlangsung pada 10 hingga 16 Februari lalu di Kampus UiTM, Shah Alam bagi aktiviti kursus memanjat pokok dan bantuan menyelamat di aras tinggi manakala Kuala Lipis, Pahang pula untuk kegiatan menerokai gua.

Pengarah program, Muhammad Akmal Arif Soulihen berkata, KRESMA sinonim dengan dunia rekreasi, jadi pendedahan sebegitu dapat memberi manfaat kepada ahlinya.

“Kursus memanjat pokok dan aktiviti menyelamat berkenaan sememangnya memberi manfaat kepada kami kerana peserta dapat menimba ilmu baru dalam aktiviti rekreasi yang semakin berkembang di Malaysia.

“Menerusi kursus itu, kami dapat mempelajari untuk menyelamatkan mangsa yang berada di atas pokok, mengikut jenis kecemasan selain mengenali pelbagai peralatan digunakan untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Akmal berkata, aktiviti meneroka gua pula membabitkan Gua Padang Kawad yang turut dikenali sebagai Gua Hari Malaysia dan Gua Tagang di Pahang.

Apa yang menariknya, kumpulan pelajar itu bukan sahaja dapat menimba pengalaman baharu dalam aktiviti penerokaan malah mempelajari sejarah lokasi berkenaan.

Katanya, difahamkan Gua Padang Kawad diberi nama sebagai Gua Hari Malaysia kerana ia diterokai pada Hari Malaysia dan nama asalnya diambil kerana dipercayai menjadi lokasi persembunyian komunis dan latihan tentera.

“Kami memulakan aktiviti meneroka Gua Hari Malaysia terlebih dahulu yang mempunyai cabaran tersendiri kerana untuk ke sana peserta perlu menempuhi perjalanan sekitar 45 minit menyusuri sungai dan hutan.

“Selama lebih dua jam, peserta perlu berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya perlu merangkak, berenang, menggunakan kemahiran tali tinggi dan paling menarik perlu mengharungi laluan curahan air seperti air terjun,” katanya.

Tambah Muhammad Akmal lagi, Gua Tagang pula tidak seperti Gua Kawad kerana ia lebih kering.

Bagaimanapun, kedudukan pintu masuknya agak tinggi memerlukan peserta berjalan di tepi dinding batu seakan laluan via ferrata dan turun melakukan salah satu kemahiran dalam kegiatan tali tinggi, abseiling berketinggian sekitar 50 meter di dalam gua yang gelap.

“Apabila keluar dari gua itu, kami juga perlu menggunakan teknik abseiling untuk sampai ke bawah yang berketinggian sekitar 30 meter.

“Gua ini mempunyai cabaran tersendiri kerana terdapat banyak batu tajam dan tanah longgar menyebabkan peserta sukar untuk turun, namun dengan kemahiran yang ada, kami dapat melepasinya,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 6:31am
d