mutakhir

3,000 pesara kesihatan bantu baris hadapan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapatkan perkhidmatan 3,000 pesara pakar perubatan dan jururawat untuk membantu pasukan barisan hadapan merawat pesakit jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya kini dalam proses pengurusan untuk mendapatkan khidmat kumpulan terbabit.

Selain itu, beliau berkata, KKM juga akan mendapatkan perkhidmatan 3,500 jururawat dan pembantu perubatan.

“Kesemua mereka sedang menjalani kursus ‘post basic’ (latihan lanjutan).

“Seramai 2,400 jururawat terlatih sudah pun dikerahkan dan diagihkan ke hospital serta klinik memerlukan,” katanya dalam sidang media harian terkini mengenai Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, seramai 1,895 kakitangan KKM disaring dan diletakkan di bawah pengawasan akibat wabak berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, tiada kakitangan didapati positif Covid-19 manakala negatif (1,187) dan masih menunggu keputusan (708).

“Kita berharap keputusan akan diperoleh selewat-lewatnya hari ini (semalam). Mereka yang belum dapat keputusan perlu diasingkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 7:26pm
    d