mutakhir

Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

Oleh Juwan Riduan

LIMA sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Taman Seri Keningau, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu jam 4.13 pagi.

“Dua jentera termasuk sebuah lori tangki dan kenderaan EMRS dengan kekuatan 13 anggota diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran dikerah ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran daripada merebak,” katanya hari ini.

Menurutnya, kebakaran membabitkan enam rumah separuh kekal terbakar yang mana lima kediaman musnah sepenuhnya manakala sebuah terbakar 60 peratus.

“Operasi terkawal jam 6.41 pagi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat sepenuhnya jam 7.51 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 12:09pm
d