arena

Ronaldo belanja iMac tebus kesalahan

Oleh Agensi

CRISTIANO Ronaldo membelikan seluruh pasukan Juventus komputer iMac selepas dia dibuang padang ketika bertemu Valencia pada saingan Liga Juara-Juara.

Menurut penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny, ia mengambil masa beberapa bulan untuk pemain antarabangsa Portugal itu akur dengan kesalahannya itu.

Ronaldo dilayangkan kad merah pada penampilan pertamanya bersama Old Lady selepas berhijrah dari Real Madrid pada musim panas 2018.

Bekas bintang Manchester United itu menitiskan air mata ketika meninggalkan padang selepas menerima kad merah kerana menarik rambut pertahanan lawan, Jeison Murillo.

Dia cuba untuk mengemukakan rayuan kepada pengadil perlawanan di sebalik Juventus memenangi perlawanan itu dengan keputusan 2-0 di Mestalla.

Polisi kelab di bawah bimbingan Massimiliano Allegri ialah mana-mana pemain yang didapati melanggar disiplin perlu membelikan hadiah kepada semua anggota pasukan sebagai tanda permohonan maaf.

Selepas dua bulan dilayangkan kad merah, Ronaldo akhirnya membelikan setiap rakan sepasukannya komputer iMac yang baharu.

Szczesny mendedahkan perkara itu dalam satu rancangan di Poland apabila berkata: “Benar kami semua mempunyai iMac.

“Ia mengambil masa yang lama kerana dia (Ronaldo) tidak dapat menerima hukuman itu dan seringkali menegaskan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Dia mengambil tempoh dua bulan tetapi akhirnya kami semua menerima hadiah iMac.”

Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 1:24pm
d