utama

Sub kluster Covid-19 di Rembau [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu sub-kluster Covid-19 di daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan kakitangan satu sekolah dan kemudiannya beberapa lokaliti di dalam daerah Rembau iaitu di Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari hari ini, terdapat 27 orang dalam sub-kluster sudah dikenal pasti positif Covid-19 termasuk dua kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 positif bagi beberapa guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedas.

“Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat diadakan di sekolah berkenaan apabila ia dihadiri oleh kes indeks kes ke-448 iaitu seorang daripada peserta perhimpunan di Seri Petaling.

“Guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat tiga generasi jangkitan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati ada aktiviti kunjung mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:47pm
    d