mutakhir

Sungai tercemar kecuaian dua pekerja kilang

Oleh Balqis Jazimah Zahari

PENGURUSAN kilang yang memproses sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Taman Meru di Ipoh mendakwa pencemaran yang berlaku di Sungai Meru adalah berpunca daripada kecuaian pekerjanya.

Ia susulan tular di media sosial rakaman video mendakwa berlaku pencemaran teruk di sebuah sungai itu sejak puluhan tahun lamanya yang didakwa berpunca daripada kilang berkenaan.

Exco Perak yang memangku portfolio Alam Sekitar, Mohd Akmal Kamarudin berkata, susulan daripada tular itu, pihaknya membuat siasatan di kilang berkenaan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.

“Menurut laporan awal yang kita terima, apa yang kita lihat di sungai berkenaan pencemaran itu sebenarnya bukanlah daripada sisa buangan daripada kilang tetapi adalah bahan mentah getah.

“Ia berpunca daripada sedikit kelalaian atau kecuaian daripada dua pekerja kilang itu. Ketika proses menurunkan bahan mentah itu daripada lori ke tangki kilang, pekerja terbabit terlupa menutup injap dan mengakibatkan tumpahan bahan mentah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan di kilang berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Rosli Zul.

Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata, pekerja kilang itu kebiasaannya mencuci tangki berkenaan hanya sekali sehari.

“Tetapi kali ini, selepas mencuci mereka terlupa untuk menutup, maka berlakulah apa yang kita lihat (dalam tular) pencemaran di sungai berkenaan.

“Berdasarkan laporan dan siasatan awal juga, kalau kita melihat di sungai berkenaan masih ada ketulan getah di situ, ini juga menunjukkan bukan sisa buangan daripada kilang yang disengajakan,” katanya.

Mohd Akmal berkata, kesalahan awal yang dikesan adalah pihak kilang lewat memaklumkan kepada JAS.

“Selain itu, kita mendapati pekerja mereka gagal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. Kita sedang mengkaji dari sudut undang-undang mengenai tindakan terhadap kilang itu,” katanya.

Menjawab soalan wartawan dakwaan air sungai itu berubah pelbagai warna, beliau berkata, sehingga kini pengadu gagal mengemukakan bukti.

“Itu yang ditularkan, maklumat awal kita mendapati pengadu gagal mengemukakan bukti sehingga hari ini. Bukti yang kita lihat adalah berwarna putih. Kita juga meminta pengadu mengemukakan bukti dakwaannya yang memaklumkan dalam setahun berlaku dua hingga tiga kali pencemaran itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan terdapatnya ikan yang mati di sungai berkenaan kesan daripada kejadian itu dan sampel ikan sudah diambil JAS.

“Kita juga sudah mengarahkan kilang bertindak segera untuk membersihkan lebih satu kilometer sungai yang tercemar. Kesan jangka panjang terhadap pencemaran itu masih dalam siasatan dan kajian,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 4:55pm
d