mutakhir

KKM pantau pesakit sembuh, elak jangkitan semula [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memantau pesakit Covid-19 yang sudah sembuh bagi mengelak daripada berlaku jangkitan berulang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas pesakit itu turut dimaklumkan mengenai kemungkinan itu.

Namun beliau menjelaskan kemungkinan untuk pesakit Covid-19 dijangkiti semula, peratusannya sangat rendah.

“Bekas pesakit perlu menjalani sesi kaunseling bagi memastikan mereka mematuhi penjarakan sosial, sering mencuci tangan dan mengelak menghadiri mana-mana himpunan awam.

“Mereka boleh dijangkiti semula. Adakalanya antigen negatif tetapi antibodi tak mencukupi untuk mereka.

“Antibodi tidak semestinya melindungi setiap masa. Peratusan jangkitan semula mungkin tidak tinggi, jadi kita harap mereka cegah dari dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan ke atas pesakit bukan warga tempatan yang sembuh akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing melalui International Health Regulations (IHR).

KKM hari ini merekodkan 222 kes pulih dan dibenarkan keluar dari wad, menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 1,830 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 8:17pm
    d