addin

Mercu daulah Islam di Brunei

Oleh Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin

KEDUDUKAN Islam di Negara Brunei Darussalam berpaut erat kepada institusi kepemimpinan. Ia mirip kepada sistem kerajaan Islam Madinah di bawah pemerintahan baginda Rasulullah SAW yang mengawal keseluruhan sistem pentadbiran dan pengurusan negara itu.

Ini merupakan suatu kelainan yang amat menonjol dan sangat berbeza sekiranya dibandingkan dengan negara lain di rantau ini.

Ia turut menjadi paksi kepada seluruh sistem pemerintahan dan pentadbiran negara yang mempunyai penduduk sekitar 443,653 dengan majoritinya beragama Islam.

Kedudukan institusi beraja sebagai Khalifah Fi Al-Ardh diperlihatkan dengan Sultan menduduki tampuk tertinggi dalam hierarki kepemimpinan manakala Islam sebagai jalan kehidupan dalam aspek kepercayaan dan pengamalan masyarakat Muslim yang merupakan 70 peratus daripada keseluruhan penduduk di Brunei.

Sejak dulu lagi Raja Brunei mengutus orang Islam dalam misi perdagangan manakala pedagang Islam dari Arab yang datang ke Brunei pula mendapat layanan yang baik daripada masyarakat setempat.

Ini menunjukkan bahawa corak perkembangan Islam di Brunei bersifat top-down.

Ini adalah kerana penerimaan Islam oleh masyarakat elit dan penguasa kerajaan, yang kemudian disosialisasikan dan berkembang kepada masyarakat bawahan.

Penulis merasakan bahawa korelasi ini juga bersifat menyeluruh, apabila Islam diterima terlebih dahulu oleh masyarakat lapisan bawah, kemudian berkembang dan diterima oleh masyarakat lapisan atas atau elit penguasa kerajaan.

Oleh kerana pola top-down menjadi pola Islamisasi di Brunei, praktis agama Islam di Brunei berkembang pantas kerana masyarakatnya sangat patuh terhadap raja mereka.

Sejarah turut mencatatkan bahawa Brunei adalah kerajaan Islam sejak turun-temurun.

Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah, menekankan pentingnya Melayu Islam Beraja atau Kerajaan Islam Melayu. Hal ini selaras dengan apa yang dapat digambarkan sebagai pusat dan pengembangan Kerajaan Islam Melayu yang makmur.

Kemampanan eksistensi Islam di Brunei dapat juga dilihat daripada seni bina istana dan masjidnya yang sangat megah.

Penulis berpeluang melawat Masjid Omar Ali Saifuddien dan Istana Nurul Iman yang turut tercatat dalam Guinness Book of Records sebagai istana pemerintah terbesar di dunia.

Istana Nurul Iman mempunyai 1,788 bilik, 257 bilik bersiram serta sebuah dewan jamuan yang boleh menampung seramai 5,000 orang dan dilengkapi dengan masjid yang mampu memuatkan seramai 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Di sini juga terdapat 110 garaj kereta, kandang kuda berhawa dingin yang menempatkan 200 anak kuda polo milik Sultan serta 5 kolam renang.

Secara keseluruhan, Istana Nurul Iman mempunyai ruang lantai seluas 2,152,782 kaki persegi. Ia turut diserikan dengan 564 lampu candelier, 44 tangga dan 18 lif.

Manakala Masjid Omar Ali Saifuddien pula dinamakan sempena Sultan Brunei ke-28 Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III.

Bangunan masjid ini siap dibina pada 1958 dan menjadi salah satu contoh seni bina moden Islam. Masjid dibina dalam sebuah lagun buatan di tepi Sungai Brunei.

Ia memiliki menara dibuat daripada marmar dan kubah utama bersalut emas. Masjid sendiri dikelilingi taman, pelbagai pokok dan pancuran air.

Satu daripada unsur tempatan ialah kegunaan bentuk ‘kalat’ (tali tebal) pada tiang luar masjid.

Sebuah jambatan turut dibina bagi menghubungkan masjid dengan Kampong Ayer di tengah sungai Brunei. Masjid ini juga sering digunakan untuk acara Tilawah al-Quran.

Tidak hairanlah jika seluruh sistem hidup diasaskan kepada Islam, sebagai cara hidup dan proses pemantapan Islam diberikan keutamaan dalam semua aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain.

Penulis turut tertarik dengan pemerkasaan tulisan Jawi dan pembudayaan Islam diterapkan kepada golongan bukan Islam.

Hal ini bukanlah retorik semata-mata, bahkan dibuktikan dari segi pelaksanaannya meliputi teori dan praktik.

Penulis adalah Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 7:00am
d