mutakhir

Kolam ikan keli punca pencemaran

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KOLAM ternakan ikan keli yang beroperasi secara haram di sebuah kawasan di Hulu Selangor dipercayai menjadi punca pencemaran bau menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor terpaksa dihenti tugas, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian berkata, ia berikutan tindakan pengusaha kolam ternakan itu melepaskan sisa ayam yang diproses ke dalam saluran sungai.

“Untuk makluman, kolam ternakan ikan keli itu beroperasi secara haram dan tidak memiliki kebenaran menduduki (KM) serta lesen pendudukan sementara (TOL) selain tanah itu dimiliki Kerajaan Negeri.

“Malah, kita sudah mengenal pasti pengusaha kolam ternakan terbabit yang mana pada 17 Februari lalu, kolam itu sudah menyebabkan pencemaran di LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor, hari ini.

Hee berkata, pihaknya sudah menghantar sampel air kolam ternakan berkenaan ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Dalam pada itu, beliau yang melakukan lawatan bersama beberapa agensi berkaitan mendapati kawasan seluas 27.52 hektar itu menempatkan 15 kolam ikan keli selain lokasinya yang jauh dari penempatan penduduk.

“Kolam terbabit sudah beroperasi sebelum 2008 lagi dan pengusahanya sering kali berpindah milik.

“Bagaimanapun, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) masih tidak dapat mengambil tindakan seterusnya terhadap pemilik kolam kerana masih menunggu hasil sampel air.

“Untuk itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan menyita kolam terbabit manakala Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak akan merobohkan struktur dan menutup laluan masuk ke kolam ternakan itu,” katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan empat LRA terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau di sumber air mentah di Sungai Selangor.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di 1,292 kawasan membabitkan 1.2 juta akaun pengguna di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan penurunan paras kolam kolam utama di kawasan itu.

  • Pencemaran bau punca gangguan bekalan air
  • Disiarkan pada: April 17, 2020 @ 3:22pm
    d