mutakhir

Bomba selamatkan wanita terperangkap dalam bilik terbakar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN pantas anggota bomba menyelamatkan wanita yang terperangkap dalam bilik di rumah teres yang terbakar di Jalan Mutiara Barat 6, Taman Mutiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.46 malam tadi.

"Seramai 50 pegawai dan anggota diketuai Komander Operasi, Mohd Khairul Azmi Jaafar bersama sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Pudu dan BBP Sungai Besi dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati satu ruangan bilik di rumah teres dua tingkat terbabit terbakar. Kami berjaya menyelamatkan seorang wanita berusia 24 tahun menggunakan tangga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa hanya mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk menerima rawatan.

"Kejadian itu menyebabkan bilik berkenaan musnah sepenuhnya dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 11:49pm
d