mutakhir

Buaya mati tersangkut jaring

Oleh Ahmad Ismail

DUA sepupu cemas apabila buaya tersangkut pada jaring dipasang mereka di Sungai Grisek, Tangkak, semalam.

Zulkifli A Wahab, 47, dan Mohd Nazaruddin Ab Hamid, 43, memasang jaring pada jam 6.30 pagi sebelum keluar menjenguk hasil tangkapan kira-kira dua jam kemudian.

"Kami memasang jaring berdekatan tebing sungai. Seperti kebiasaan, kami turun awal pagi dan beberapa jam kemudian melihat jika ada ikan tersangkut.

"Semalam jam 8.15 pagi, saya bersama sepupu keluar melihat jaring. Ketika itu, jaring bergerak seolah-olah ada sesuatu tersangkut. Tanpa membuang masa, kami menarik dan terkejut apabila melihat buaya yang tersangkut, " katanya hari ini.

Katanya, mulanya dia menyangkakan reptilia itu masih hidup dan segera mendapatkan bantuan.

"Ia mungkin terperangkap kerana sedang mencari makanan. Mujurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Menurutnya, mereka kerap melihat kelibat buaya di sungai itu tetapi tidak pernah mengganggu nelayan.

"Lokasi ini memang ada buaya kerana lubuk pelbagai ikan dan udang galah namun ini kejadian pertama kami alami sejak menjadi nelayan 20 tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11 pagi dari Jabatan Perikanan Daerah Muar.

Katanya, bangkai buaya dipercayai betina itu dianggarkan berat 60 kilogram.

Beliau menasihatkan nelayan supaya berhati-hati dan segera melaporkan jika terlihat buaya bagi tindakan susulan.

"Buaya tembaga itu adalah spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 8:30pm
d