WM

Gabungan gula melaka, air asam

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TERDORONG memenuhi permintaan suami yang inginkan kelainan dalam masakan, seorang suri rumah mencuba untuk menghasilkan masakan dinamakan Ikan Kerapu Celup Tepung Masak 10 Rasa.

Zurina Zulkefli berkata, idea untuk menghasilkan masakan itu diperoleh selepas terjumpa satu resipi di Instagram.

Katanya, dia tertarik dengan resipi yang menggunakan gabungan gula melaka dan air asam.

"Sepanjang aktif memasak, saya tidak pernah tahu rasa kuah yang menggunakan dua campuran itu.

"Jadi saya mencuba resipi ini menggunakan ikan kerapu yang digoreng celup tepung.

"Ternyata rasa masakan ini sedap dan lain daripada yang lain, katanya.

Menurutnya, resipi ini mudah disediakan selain bahan-bahannya mudah diperoleh di kedai.

Tambahnya, dia sangat suka mencuba pelbagai jenis masakan seperti Korea dan Thailand.

"Saya juga suka ambil gambar dari bahan mentah dan cara penyediaan sebelum dimuat naik di Facebook dan Instagram.

"Alhamdulillah saya menerima maklum balas yang baik daripada rakan yang turut memperoleh manfaat dengan perkongsian mengenai masakan itu, katanya.

Bahan diperlukan

a) 1 ekor ikan kerapu

b) Tepung goreng serbaguna

c) 1 sudu besar pes asam jawa

d) 1 ketul mini gula melaka (ditumbuk hancur)

e) 1 mangkuk kecil sos ikan

f) 1 biji limau nipis (jus)

g) 1 biji bawang merah (hiris)

h) 5 tangkai lada kecil (potong kecil)

i) 1 biji tomato (potong dadu)

j) Daun ketumbar (diracik)

k) Bawang putih cincang

Cara memasak:

1. Mula-mula hasilkan kuah dahulu.

2. Campurkan air panas, asam jawa, gula melaka, sos ikan, jus limau nipis, hirisan bawang, lada, tomato dan boleh masukkan bawang putih goreng untuk menambahkan rasa.

3. Gaulkan semuanya dan tambah sedikit gula dan garam.

4. Jangan lupa racikkan daun ketumbar ke dalam kuah untuk rasa yang lebih lengkap.

5. Selepas itu, kelar bahagian badan ikan dan gaulkan dengan tepung serbaguna.

6. Goreng ikan dengan minyak yang panas sehingga warna keemasan.

7. Angkat ikan dan toskan minyak.

8. Akhir sekali tuangkan campuran kuah tadi ke atas ikan.

9. Sedia dihidang.

Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 6:30am
d