mutakhir

Kilang sarung tangan lepas sisa ke longkang

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

MAJLIS Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengeluarkan notis kacau ganggu selama seminggu kepada sebuah kilang memproses sarung tangan getah di Jalan Jasmine, Bukit Beruntung yang melepaskan sisa berbuih ke longkang seliaan mereka yang boleh menyebabkan pencemaran Sungai Guntong.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata, notis berkenaan dikeluarkan penguat kuasa bermula 30 April lalu yang perlu dipatuhi pemilik kilang itu dengan segera.

Katanya, siasatan dijalankan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS ke atas kilang berkenaan selepas mendapat aduan orang ramai baru-baru ini.

"Kami dapati pemilik kilang ini dengan sengaja melepaskan sisa buangan berbuih ke dalam longkang berhampiran dengan banyaknya.

"Tindakan diambil oleh pihak MDHS dengan mengeluarkan notis kacau ganggu selama tempoh seminggu untuk pihak kilang membaik pulih kolam rawatan iaitu memastikan tiada pelepasan effluen berbuih dan mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, premis itu mempunyai lesen perniagaan sah dari MDHS dan mempunyai kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Pihak premis turut diminta menyediakan laporan persampelan outlet ke longkang kepada MDHS dari semasa ke semasa sebagai langkah pemantauan berkala oleh pihak kami. Tindakan diambil mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Sekiranya premis didapati melakukan kesalahan berulang, MDHS boleh menarik semula lesen perniagaan dan premis ditutup selama 14 hari sehingga dibenarkan untuk dibuka," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2020 @ 10:45am
d