mutakhir

Dahulu tinggal bersesak, sekarang selesa [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

"SELAMA empat tahun saya sekeluarga tinggal di dangau dalam kebun getah ini, dan hanya berserah kepada Allah SWT apabila meninggalkan anak-anak yang masih kecil ketika keluar mencari rezeki."

Begitu kata penoreh getah Abdullah Ahmad, 41, yang tinggal bersama isteri Ruziah Mohd Radzhi, 39, dan lima anaknya serta seorang cucu dalam dangau di Kampung Sampang, Bukit Wang, Kubang Pasu.

Abdullah berkata, dia tidak mempunyai pilihan untuk tinggal di rumah lain berikutan pendapatan bersama isteri sebagai penoreh getah hanya RM500 sebulan.

Katanya, dangau tanpa bilik tidur itu disewa dengan bayaran RM150 sebulan manakala dapur dan bilik air berada di luar.

"Kami tidur berhimpit lapan beranak iaitu saya, isteri dan lima anak serta seorang cucu dalam dangau ini.

"Anak saya yang kecil serta cucu masing-masing berusia tiga tahun, anak sulung berusia 21 tahun pula ibu tunggal.

"Setiap pagi dia (anak sulung) keluar awal bekerja di sebuah kilang dan mengharapkan anak perempuan kedua berusia 17 tahun untuk menjaga adiknya serta cucu semasa kami keluar menoreh," katanya.

Bagaimanapun, kehidupan Abdullah sekeluarga berubah apabila Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima permohonan bantuan rumah zakat mereka, tahun lalu.

Abdullah berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan rumah baharu bernilai RM43,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman, hari ini.

Katanya, mereka berpindah ke rumah baharu yang dibina di atas tanah seluas 0.29 hektar di kampung sama pada awal Mac lalu.

"Apabila mula menjejakkan kaki ke rumah ini, kami sekeluarga terkejut kerana rupa-rupanya ia memiliki tiga bilik dan keadaannya cukup selesa.

"Kami bersyukur dengan pemberian ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha meluluskan permohonan bantuan," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 5:05pm
d