arena

UKM FC tagih khidmat Akanni Sunday

Oleh Mohd Amin Jalil

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) FC mengharapkan sentuhan berbisa penyerang import berpengalaman, Akanni Sunday Wasiu untuk membantu barisan hadapan skuad itu apabila bersambungnya kembali saingan Liga Malaysia (Liga-M), September depan.

Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie berkata, Akanni Sunday yang berasal dari Nigeria adalah bekas pemain Terengganu FC II (TFC II) dan penyerang berusia 36 tahun itu tidak asing bagi pentas liga domestik negara ini.

Katanya, pihaknya berharap pemain berkenaan yang memiliki pengalaman luas di pentas Liga-M dapat membantu UKM mencatatkan keputusan positif dalam baki lapan perlawanan Liga Perdana musim ini.

"Akanni Sunday belum lagi diturunkan dalam tiga perlawanan awal liga yang diharungi pasukan sebelum ini dan kita mengharapkan kelibat dia dapat membantu memantapkan jentera serangan apabila liga kembali bersambung September depan.

"Pengalaman dia bersama dengan beberapa pasukan tempatan terutama Terengganu FC dan TFC II amat ditagih untuk membantu pasukan meraih pencapaian terbaik dalam liga dan layak beraksi di pentas Piala Malaysia musim ini.

"UKM baharu sahaja menamatkan tiga perlawanan liga dengan satu kemenangan, satu seri dan satu tewas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fairus berkata, berpandukan kepada tiga aksi awal itu, pihaknya melihat jentera serangan skuad The Varsity Boys wajar diperkasakan lagi supaya setiap peluang jaringan gol dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Menurutnya, menerusi format perlawanan satu pusingan yang dicadangkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu pastinya cabaran UKM akan datang lebih getir berbanding sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, persiapan lebih mantap perlu dilakukan bagi memastikan pasukan dapat bersaing dengan baik dan meraih pencapaian yang ditetapkan.

Beliau yakin dengan ketangkasan dan pengalaman Akanni Sunday yang sebelum ini berjaya memperagakan aksi mantap bersama TFC II, mampu memainkan peranan berkesan membantu skuad bimbingan Sulaiman Hussin.

"Apa pun, saya amat mengharapkan barisan pemain UKM mampu lebih menyerlah dalam aksi mereka selepas ini, walaupun persiapan latihan ketika ini kurang efektif kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani Covid-19," katanya.

MFL dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini merancang untuk menyambung semula Liga M musim ini dengan format berbeza di mana Liga Super dan Liga Perdana akan disambung pada 1 hingga 27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga tanpa penonton.

Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 10:35pm
d