mutakhir

Bekalan darah jenis O diperlukan di HDS

Oleh Ahmad Ismail

UNIT Tabung Darah, Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, memerlukan sumbangan orang ramai bagi mengisi bekalan darah jenis O yang berdepan penyusutan ketara.

Pengarahnya, Dr Azhar Mohd Sali berkata, kerjasama orang ramai sangat dialu-alukan bagi memastikan darah jenis itu sentiasa mencukupi.

"Darah jenis O dikategorikan bersifat 'Universal' antara keperluan kepada penghidap anemia, iaitu kurang sel darah merah (hemoglobin), kes kemalangan, di wad bersalin juga pembedahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Penerangan Unit Tabung Darah HDS, Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, penderma akan melalui saringan kesihatan sebelum dibenarkan menderma darah bagi melihat tahap kesihatan mereka.

Azhar berkata, kekurangan ini disebabkan beberapa faktor antaranya peningkatan kes kecemasan, stok persediaan menjelang musim perayaan, selain peningkatan penggunaan jenis darah O dalam rawatan.

"Individu kategori jenis darah lainnya turut diminta tampil segera melakukan tanggungjawab sosial sama.

"Tambahan pula, sepanjang bulan puasa, kadar pendermaan dari penderma Muslim agak menurun atas faktor kekangan masa," katanya.

Katanya lagi, pihak HDS turut mengharapkan bantuan daripada penderma bukan Islam.

"Pada 17 Mei 2020 (Ahad), pasukan kami akan berada di Tingkat bawah, U Sentral bandar Segamat bermula jam 10 pagi hingga 2 petang," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 3:39pm
d