mutakhir

Ahli perniagaan bakal berdepan tali gantung

Oleh Erika George

PENAHANAN ahli perniagaan di rumahnya di Taman Jelita, Jalan Persiaran, Miri, semalam membawa kepada penemuan methamphetamine dan ketamin seberat 2.8 kilogram bernilai RM116,000.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, serbuan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Miri jam 1.30 tengah hari.

"Kami merampas satu kotak dipegang suspek dan selepas dibuka, kami menemui dua bekas minuman panas berisi methamphetamine dan ketamin.

"Dalam kotak itu juga, kami temui dua paket ketamin," katanya hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di bilik tidur suspek di tingkat atas turut menemui satu alat penimbang digital bagi menimbang dadah.

Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah malah ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif ketamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 5:24pm
d