mutakhir

Penerbangan ihsan bawa bayi tidak cukup bulan

Oleh Ramli Ibrahim

UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa bayi Orang Asli berusia dua hari dari Pos Gob, Gua Musang ke Hospital Gua Musang.

Bayi itu yang dilahirkan tidak cukup bulan oleh Iba Cali, 30, tiba di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sebelum dibawa ke hospital pada 4.40 petang, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, sebelum itu helikopter Agusta AW 189 berlepas dari Pangkalan Subang pada 2.50 petang selepas dimaklumkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada 11 pagi.

"Kru tiba di Pos Gob pada 4.17 petang bersama doktor dan jururawat yang mengawasi pesakit kerana bimbangkan keadaan bayi yang berisiko di udara.

"Helikopter mendarat di BBP Gua Musang pada 4.40 petang dan pesakit dihantar ke hospital dengan jentera EMRS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak tiga penerbangan ihsan dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan keutamaan diberi kepada penyelamatan penduduk di pedalaman khususnya Orang Asli.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 6:28pm
d